Friday, March 8, 2019

SUSU NUTREN FIBRE

"Sebarkan kebaikan, banyak pahala you dapat"
.
.
Terkejut saya apabila 'promoter' berbangsa cina cakap macam tu selepas diberitahu suami diberi susu Nutren Fibre sejak 9 bulan yang lalu. Terus saya jadi jurucakap tidak berbayar di kaunter promosi.

Ikutkan stok susu masih ada untuk seminggu lagi tetapi disebabkan semalam ada promosi beli 3 tin dapat baucer tesco bernilai RM 10, semangat memandu ke kepala batas untuk beli lagi 6 tin (stok 2 minggu). Selepas dapat baucer terus membeli belah barang dapur di tesco bertam.

Sejak hari pertama dimasukkan ke hospital suami diberikan susu ini, balik rumah terus guna susu yang sama. Sekitar bulan 12 2018 tukar susu jenama lain dan natijahnya hampir seminggu abg tak 'membuang'. Apalagi timbul macam-macam masalah dan tidur malam pun tak lena sebab abg tak selesa. 🐼

Selepas itu kembali semula kepada Nutren Fibre dan alhamdulillah masalah 'pembuangan' dapat diselesaikan walaupun kadangkala perlu guna alat bantu bagi memastikan ianya benar-benar lawas.

Melalui maklumat nutrisi yang tertera pada tin, Nutren Fibre membekalkan:

3.5 g fibre per 250 ml serving 
10 g protein per 250 ml serving 
Multisource Fibre with Prebiotics


Sukatan pemberian susu seharus dirujuk kepada pakar pemakanan. Pengiraan kuantiti bancuhan dan kekerapan pengambilan mengambilkira faktor jantina, umur dan berat badan.

Untuk suami, susu akan diberikan setiap 3 jam sebanyak 6 kali sehari. Sebanyak 7 scoop susu dibancuh bersama 250 ml air suam. Menurut pakar pemakanan yang ditemui, In Shaa Allah berat ideal abg akan dapat dicapai tidak lama lagi.

Thursday, December 27, 2018

Trakeostomi & Cara Penjagaan


Trakeostomi merupakan satu prosedur pembedahan dimana satu bukaan pernafasan alternatif dibuat pada bahagian depan leher pesakit bertujuan untuk memasukkan tiub trakeostomi ke dalam salur pernafasan (trakea) bagi memudahkan proses pernafasan berlaku. Prosedur ini boleh bersifat sementara atau kekal bergantung kepada situasi masalah pesakit tersebut.

Prosedur ini telah dilakukan ke atas abang pada hari pertama dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang bersekali dengan pembedahan di kepala. Menurut doktor ianya perlu dilakukan segera berikutan abang bersaiz besar dan bantuan pernafasan melalui mulut tidak boleh dibuat dalam tempoh yang lama. Setelah mendapatkan pandangan daripada pihak ketiga, borang membenarkan prosedur ini ditandatangani. Selepas 27 hari berada di hospital, abang dibenarkan balik dengan tiub trakeotomi masih di leher dan penjaga diminta untuk membeli mesin dan peralatan menyedut kahak dan diajar cara-cara untuk melakukannya.


"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Engkau izinkanlah agar ryles tube & tracky suamiku dikeluarkan segera"

Sejak itu doa diatas tidak pernah putus dibaca setiap kali selepas solat dan Allah Ya Fattah makbulkan pada 20 Disember 2018.

Selain berdoa, usaha berterusan dilakukan. Setiap tips dan cara yang diajar oleh mereka yang pakar dan berpengalaman pasti akan diaplikasikan. Antaranya adalah :
  • Melakukan urutan di muka dan leher abang sepertimana yang diajar oleh jurupulih cara kerja. Urutan tersebut bertujuan untuk merangsang saraf di bahagian berkenaan.
  • Abang didudukkan di atas kerusi roda setelah beberapa hari terlantar di rumah. Semuanya dilakukan oleh fisioterapi yang mana cara ini akan menguatkan pinggang dan paru2. Peringkat awal memang kesian tapi lama kelamaan abang boleh duduk dengan baik.
  • Sesudu minyak zaitun setiap malam. Kesan ketara yang dapat dilihat adalah kahak semakin berkurang. Semasa di hospital kekerapan menyedut kahak adalah tinggi dan bila di rumah kahak akan disedut sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Lama kelamaan kerja menyedut kahak semakin berkurang dan sejak sebulan yang lepas ianya tidak perlu dilakukan lagi.
  • Menjaga kebersihan tangan dan semua peralatan sebelum, semasa dan selepas menyedut kahak. Ini amat penting bagi mengelakkan kuman masuk ke paru-paru.
  • Menggunakan 'suction catheter' untuk sekali sedutan sahaja walaupun 'catheter' boleh diulang guna 2-3 kali. Nampak seperti membazir tetapi ini yang terbaik dan akak tidak mahu mengambil sebarang risiko. (harga 1 suction catheter = RM 0.65)
  • Abang digalakkan untuk batuk dan keluarkan kahak sendiri dan kahak akan memancut keluar dari lubang tracky jika abg batuk dengan kuat.
  • Setiap hari kata-kata motivasi akan menjadi halwa telinga abang supaya memberikan kerjasama dalam apa jua yang dilakukan.
  • Sentiasa ingatkan abang supaya berdoa minta pada Allah, doa orang yang sedang sakit pasti dimakbulkan.

"Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina"Al Mu'min 40 : 60

~ catatan di parkir masjid ~

Tuesday, December 11, 2018

Fisioterapi Di Rumah


Nikmat sihat tidak dapat nak dibandingkan dengan wang ringgit.
Dapatkan rawatan fisioterapi terus ke rumah anda untuk mengembalikan dan memastikan kesihatan anda berada dalam keadaan yang lebih baik.
Hubungi Hafiz Physiotherapy untuk mendapatkan konsultansi percuma mengenai masalah anda dan tempah slot.
Rawatan 💯 % manual teknik dan harga spesial jika dibandingkan dengan tempat lain.
Nota: Saya telah menggunakan khidmat Hafiz Physio dan amat berpuas hati dengan khidmat yang diberikan.

Sunday, December 2, 2018

Kudis Tekanan / Bedsore


Bedsore makin kecil.

Terima kasih kepada adik MA yang bekerja di Farmasi Sg. Dua kerana memberi tunjuk ajar cara merawat kudis ini dengan cara yang betul. 

Akak kongsikan di sini supaya dapat dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja yang sedang meghadapi masalah yang sama. 


Bahan / Peralatan 
----------------------
1. Duoderm Hydroactive Gel
2. Fucid Ointment 
3. Hydrocyn
4. Strile cotton balls
5. Dressing set
6. Cotton Gauze Pads
7. Pelekat
8. Transparent Dressing Roll

Cara
-------
1. Bersih bahagian luka bedsore dengan menggunakan strile cotton ball yang telah dibasahi  hydrocyn. 

2. Sapu Fucid Ointment pada bahagian luka yang masih bernanah atau berwarna coklat kehitaman untuk matikan kuman. 

3. Sapu Gel Hydroactive Duoderm pada bahagian luka yang berwarna kemerahan bagi menggalakkan pertumbuhan daging / kulit baru. 

4. Tutup luka bedsore menggunakan gamgee. Tetapi akak guna cotton gauze, pelekat dan transparent dressing roll (jika perlu) untuk jimat kos 😁

Nota.
+ Tangan dan peralatan yang digunakan adalah bersih.
+ Rawatan dilakukan 2 kali sehari.

Wednesday, November 14, 2018

Rawatan Pesakit Strok


"Progress nampak cepat"……Allahuakbar.. Alhamdulillah.. Syukur padaMu Ya Allah. Nasib baik Dr. lelaki, kalau Dr. wanita pasti dah kena peluk.

Memang tak jangka dan tak duga, sebagai penjaga rasanya keadaan abang tetap sama. Sehingga ke hari ini abang masih terlantar dan perlu diuruskan sepenuhnya. Lagipun tiada sebarang sasaran yang ditetapkan kerana takut kecewa sepertimana yang berlaku pada awal bulan ogos lepas.

Menurut Doktor yang merawat abang di wad dulu, harapan untuk pulih terlalu tipis kerana pendarahan kali ke 2 berlaku hampir dengan 'brain stem'. Tetapi itu bukanlah alasan untuk berdiam diri, sesungguhnya kesembuhan itu hak mutlak Allah S.W.T sepenuhnya dan sebagai hambaNya kita hendaklah terus berdoa dan berusaha.

Minggu pertama abang berada di rumah tidak banyak yang dilakukan, fokus utama adalah mendapatkan info-info berkaitan strok dan cara rawatan yang betul. Setelah itu barulah tindakan sewajarnya diambil.

Urutan

Rawatan pertama yang dilakukan di rumah bagi memberikan kelegaan dan perubahan yang ketara ketika itu adalah pernafasan nampak lebih stabil dan abang nampak lebih ‘relax’. Sejak itu urutan dibuat 1 @ 2 minggu sekali.

 
Fisioterapi di rumah 

Rawatan ini sangat penting untuk pesakit strok bagi mengelakkan otot menjadi keras (stiff) dan kejang (spasm). Alhamdulillah dipertemukan dengan hafiz physio, bermula dengan sesi percubaan selama 6 hari berturut-turut dan diteruskan selang sehari sehingga ke hari ini.

 
Fisioterapi dan Terapi Cara Kerja Di Hospital 

Walaupun fisioterapi dibuat di rumah, Abang akan di bawa ke Hospital Kepala Batas sebulan sekali bagi memenuhi temujanji yang ditetapkan. Selain dapat menggunakan kemudahan / peralatan yang terdapat di sana, terapis akan menyediakan laporan perkembangan pesakit untuk diserahkan kepada Doktor Neurologi ketika temujanji di Hospital Pulau Pinang.

 
Akupuntur 

Pada mulanya agak sukar mendapatkan perawat akupuntur bagi pesakit strok dan boleh datang ke rumah. Melalui carian di FB, akak menemui perawat yang beroperasi di Taman Koskam. Kali pertama menerima rawatan ini abang tidak boleh tidur malam (rawatan dilakukan waktu petang) dan ianya telah dijangka. Rawatan diteruskan 1 @ 2 minggu sekali.

 
Neuromuscular Electrical Stimulation (NMES)

Penggunaan alat ini disaran oleh fisioterapi dan diperolehi dengan bantuan seorang rakan. Ianya mudah dikendalikan dan boleh digunakan pada bila-bila masa sahaja.


Disamping itu juga, urutan di muka sepertimana yang diajar oleh Terapis Cara Kerja dilakukan setiap kali selepas sedutan kahak. Ia bertujuan untuk merangsang deria rasa Dan sekarang ini abang sudah boleh menelan walaupun agak lambat. Latihan berterusan perlu dilakukan dan jika semuanya berjalan lancar ryle's tube dan tracky boleh dibuka pada temujanji akan datang.

Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan, pemulihan pesakit stroke hemoragik (pendarahan) adalah lebih sukar berbanding pesakit stroke iskemik (salur darah tersumbat).

Terima kasih kepada ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga yang tidak putus-putus memberi sokongan, bantuan dan sumbangan. Asbab rezeki tersebut, rawatan di rumah dapat dilakukan sehingga ke hari ini. Semoga jariah diberi diganjari pahala yang berterusan untuk semua.

Mohon doakan agar usaha ini dapat diteruskan sehingga abang kembali sembuh sepenuhnya. Terima kasih.

Ikhlas :

Isteri Pesakit Strok Hemoragik


Monday, November 12, 2018

Kenali Penyakit Stroke


Stroke adalah suatu keadaan yang terjadi apabila bekalan darah ke suatu bahagian otak tiba-tiba terganggu. Dalam rangkaian otak, kurangnya aliran darah menyebabkan beberapa siri reaksi biokimia, yang boleh merosakkan atau mematikan sel-sel saraf di otak. Kematian rangkaian otak boleh menyebabkan kehilangan fungsi yang dikendalikan oleh rangkaian itu. Bila dapat diselamatkan, kadang-kadang pesakit mengalami kelumpuhan pada anggota badannya, hilangnya sebahagian ingatan atau kemampuan bercakap. Terdapat dua (2) jenis strok iaitu ISKEMIK (ISCHEMIC) dan HEMORAGIK (HAEMORRHAGIC)

Strok Iskemik lebih banyak terjadi akibat aliran darah ke otak terbantut atau tersumbat. Aterosklerosis, iaitu keadaan di mana terjadi pengkakuan dan pembuluh darah kerana bertompoknya zat-zat lemak di dinding pembuluh darah, merupakan salah satu penyebab utama strok iskemik. Pembuluh darah menuju sel-sel otak tersumbat menyebabkan aliran darah dan bekalan nutrisi ke otak akan berkurangan.

Strok Hemoragik berlaku disebabkan oleh pembuluh darah di otak pecah sehingga berlaku pendarahan di otak. Umumnya strok ini terjadi kerana tekanan darah yang terlalu tinggi. Hampir 70 peratus kes Strok Hemoragik terjadi pada pesakit tekanan darah tinggi yang menyebabkan tekanan yang lebih besar pada dinding pembuluh darah, sehingga ia menjadi lemah dan saluran darah terdedah pecah. Walaupun Strok Hemoragik hanya 20 peratus daripada kes strok yang terjadi, ia lebih merbahaya berbanding Strok Iskemik.

Dua analogi Strok Hemoragik yang diberikan oleh doktor sentiasa terpahat diingatan sehingga kini;

Doktor 1: Pembuluh darah di kepala suami puan umpama paip air yang telah mengalami kebocoran. Jika berlaku tekanan melebihi had yang sepatutnya, pendarahan kali kedua boleh berlaku dan akan membahayakan nyawa pesakit atau kerosakan otak akan menjadi semakin parah.

Doktor 2: Pendarahan yang berlaku umpama letusan gunung berapi, gegaran susulan boleh berlaku pada bila-bila masa yang boleh menyebabkan serangan kali kedua dan seterusnya. Penjaga perlu sentiasa berhati-hati dan jangan meletakkan harapan yang tinggi.

Sebagai penjaga, saya akan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil terutamanya berkaitan rawatan ingin dilakukan. Jika ada yang merasa kecil hati kerana saya tidak menerima syor yang diberikan, maafkan saya kerana tahap kemampuan dan keupayaan serta kesihatan pesakit menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat.