Wednesday, November 14, 2018

Rawatan Pesakit Strok


"Progress nampak cepat"……Allahuakbar.. Alhamdulillah.. Syukur padaMu Ya Allah. Nasib baik Dr. lelaki, kalau Dr. wanita pasti dah kena peluk.

Memang tak jangka dan tak duga, sebagai penjaga rasanya keadaan abang tetap sama. Sehingga ke hari ini abang masih terlantar dan perlu diuruskan sepenuhnya. Lagipun tiada sebarang sasaran yang ditetapkan kerana takut kecewa sepertimana yang berlaku pada awal bulan ogos lepas.

Menurut Doktor yang merawat abang di wad dulu, harapan untuk pulih terlalu tipis kerana pendarahan kali ke 2 berlaku hampir dengan 'brain stem'. Tetapi itu bukanlah alasan untuk berdiam diri, sesungguhnya kesembuhan itu hak mutlak Allah S.W.T sepenuhnya dan sebagai hambaNya kita hendaklah terus berdoa dan berusaha.

Minggu pertama abang berada di rumah tidak banyak yang dilakukan, fokus utama adalah mendapatkan info-info berkaitan strok dan cara rawatan yang betul. Setelah itu barulah tindakan sewajarnya diambil.

Urutan

Rawatan pertama yang dilakukan di rumah bagi memberikan kelegaan dan perubahan yang ketara ketika itu adalah pernafasan nampak lebih stabil dan abang nampak lebih ‘relax’. Sejak itu urutan dibuat 1 @ 2 minggu sekali.

 
Fisioterapi di rumah 

Rawatan ini sangat penting untuk pesakit strok bagi mengelakkan otot menjadi keras (stiff) dan kejang (spasm). Alhamdulillah dipertemukan dengan hafiz physio, bermula dengan sesi percubaan selama 6 hari berturut-turut dan diteruskan selang sehari sehingga ke hari ini.

 
Fisioterapi dan Terapi Cara Kerja Di Hospital 

Walaupun fisioterapi dibuat di rumah, Abang akan di bawa ke Hospital Kepala Batas sebulan sekali bagi memenuhi temujanji yang ditetapkan. Selain dapat menggunakan kemudahan / peralatan yang terdapat di sana, terapis akan menyediakan laporan perkembangan pesakit untuk diserahkan kepada Doktor Neurologi ketika temujanji di Hospital Pulau Pinang.

 
Akupuntur 

Pada mulanya agak sukar mendapatkan perawat akupuntur bagi pesakit strok dan boleh datang ke rumah. Melalui carian di FB, akak menemui perawat yang beroperasi di Taman Koskam. Kali pertama menerima rawatan ini abang tidak boleh tidur malam (rawatan dilakukan waktu petang) dan ianya telah dijangka. Rawatan diteruskan 1 @ 2 minggu sekali.

 
Neuromuscular Electrical Stimulation (NMES)

Penggunaan alat ini disaran oleh fisioterapi dan diperolehi dengan bantuan seorang rakan. Ianya mudah dikendalikan dan boleh digunakan pada bila-bila masa sahaja.


Disamping itu juga, urutan di muka sepertimana yang diajar oleh Terapis Cara Kerja dilakukan setiap kali selepas sedutan kahak. Ia bertujuan untuk merangsang deria rasa Dan sekarang ini abang sudah boleh menelan walaupun agak lambat. Latihan berterusan perlu dilakukan dan jika semuanya berjalan lancar ryle's tube dan tracky boleh dibuka pada temujanji akan datang.

Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan, pemulihan pesakit stroke hemoragik (pendarahan) adalah lebih sukar berbanding pesakit stroke iskemik (salur darah tersumbat).

Terima kasih kepada ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga yang tidak putus-putus memberi sokongan, bantuan dan sumbangan. Asbab rezeki tersebut, rawatan di rumah dapat dilakukan sehingga ke hari ini. Semoga jariah diberi diganjari pahala yang berterusan untuk semua.

Mohon doakan agar usaha ini dapat diteruskan sehingga abang kembali sembuh sepenuhnya. Terima kasih.

Ikhlas :

Isteri Pesakit Strok Hemoragik


No comments:

Post a Comment