Monday, November 12, 2018

Kenali Penyakit Stroke


Stroke adalah suatu keadaan yang terjadi apabila bekalan darah ke suatu bahagian otak tiba-tiba terganggu. Dalam rangkaian otak, kurangnya aliran darah menyebabkan beberapa siri reaksi biokimia, yang boleh merosakkan atau mematikan sel-sel saraf di otak. Kematian rangkaian otak boleh menyebabkan kehilangan fungsi yang dikendalikan oleh rangkaian itu. Bila dapat diselamatkan, kadang-kadang pesakit mengalami kelumpuhan pada anggota badannya, hilangnya sebahagian ingatan atau kemampuan bercakap. Terdapat dua (2) jenis strok iaitu ISKEMIK (ISCHEMIC) dan HEMORAGIK (HAEMORRHAGIC)

Strok Iskemik lebih banyak terjadi akibat aliran darah ke otak terbantut atau tersumbat. Aterosklerosis, iaitu keadaan di mana terjadi pengkakuan dan pembuluh darah kerana bertompoknya zat-zat lemak di dinding pembuluh darah, merupakan salah satu penyebab utama strok iskemik. Pembuluh darah menuju sel-sel otak tersumbat menyebabkan aliran darah dan bekalan nutrisi ke otak akan berkurangan.

Strok Hemoragik berlaku disebabkan oleh pembuluh darah di otak pecah sehingga berlaku pendarahan di otak. Umumnya strok ini terjadi kerana tekanan darah yang terlalu tinggi. Hampir 70 peratus kes Strok Hemoragik terjadi pada pesakit tekanan darah tinggi yang menyebabkan tekanan yang lebih besar pada dinding pembuluh darah, sehingga ia menjadi lemah dan saluran darah terdedah pecah. Walaupun Strok Hemoragik hanya 20 peratus daripada kes strok yang terjadi, ia lebih merbahaya berbanding Strok Iskemik.

Dua analogi Strok Hemoragik yang diberikan oleh doktor sentiasa terpahat diingatan sehingga kini;

Doktor 1: Pembuluh darah di kepala suami puan umpama paip air yang telah mengalami kebocoran. Jika berlaku tekanan melebihi had yang sepatutnya, pendarahan kali kedua boleh berlaku dan akan membahayakan nyawa pesakit atau kerosakan otak akan menjadi semakin parah.

Doktor 2: Pendarahan yang berlaku umpama letusan gunung berapi, gegaran susulan boleh berlaku pada bila-bila masa yang boleh menyebabkan serangan kali kedua dan seterusnya. Penjaga perlu sentiasa berhati-hati dan jangan meletakkan harapan yang tinggi.

Sebagai penjaga, saya akan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil terutamanya berkaitan rawatan ingin dilakukan. Jika ada yang merasa kecil hati kerana saya tidak menerima syor yang diberikan, maafkan saya kerana tahap kemampuan dan keupayaan serta kesihatan pesakit menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat.

No comments:

Post a Comment