Trakeostomi merupakan satu prosedur pembedahan dimana satu bukaan pernafasan alternatif dibuat pada bahagian depan leher pesakit bertujuan untuk memasukkan tiub trakeostomi ke dalam salur pernafasan (trakea) bagi memudahkan proses pernafasan berlaku. Prosedur ini boleh bersifat sementara atau kekal bergantung kepada situasi masalah pesakit tersebut.
Prosedur ini telah dilakukan ke atas abang pada hari pertama dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang bersekali dengan pembedahan di kepala. Menurut doktor ianya perlu dilakukan segera berikutan abang bersaiz besar dan bantuan pernafasan melalui mulut tidak boleh dibuat dalam tempoh yang lama. Setelah mendapatkan pandangan daripada pihak ketiga, borang membenarkan prosedur ini ditandatangani. Selepas 27 hari berada di hospital, abang dibenarkan balik dengan tiub trakeotomi masih di leher dan penjaga diminta untuk membeli mesin dan peralatan menyedut kahak dan diajar cara-cara untuk melakukannya.
"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Engkau izinkanlah agar ryles tube & tracky suamiku dikeluarkan segera"
Sejak itu doa diatas tidak pernah putus dibaca setiap kali selepas solat dan Allah Ya Fattah makbulkan pada 20 Disember 2018.
Selain berdoa, usaha berterusan dilakukan. Setiap tips dan cara yang diajar oleh mereka yang pakar dan berpengalaman pasti akan diaplikasikan. Antaranya adalah :
- Melakukan urutan di muka dan leher abang sepertimana yang diajar oleh jurupulih cara kerja. Urutan tersebut bertujuan untuk merangsang saraf di bahagian berkenaan.
- Abang didudukkan di atas kerusi roda setelah beberapa hari terlantar di rumah. Semuanya dilakukan oleh fisioterapi yang mana cara ini akan menguatkan pinggang dan paru2. Peringkat awal memang kesian tapi lama kelamaan abang boleh duduk dengan baik.
- Sesudu minyak zaitun setiap malam. Kesan ketara yang dapat dilihat adalah kahak semakin berkurang. Semasa di hospital kekerapan menyedut kahak adalah tinggi dan bila di rumah kahak akan disedut sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Lama kelamaan kerja menyedut kahak semakin berkurang dan sejak sebulan yang lepas ianya tidak perlu dilakukan lagi.
- Menjaga kebersihan tangan dan semua peralatan sebelum, semasa dan selepas menyedut kahak. Ini amat penting bagi mengelakkan kuman masuk ke paru-paru.
- Menggunakan 'suction catheter' untuk sekali sedutan sahaja walaupun 'catheter' boleh diulang guna 2-3 kali. Nampak seperti membazir tetapi ini yang terbaik dan akak tidak mahu mengambil sebarang risiko. (harga 1 suction catheter = RM 0.65)
- Abang digalakkan untuk batuk dan keluarkan kahak sendiri dan kahak akan memancut keluar dari lubang tracky jika abg batuk dengan kuat.
- Setiap hari kata-kata motivasi akan menjadi halwa telinga abang supaya memberikan kerjasama dalam apa jua yang dilakukan.
- Sentiasa ingatkan abang supaya berdoa minta pada Allah, doa orang yang sedang sakit pasti dimakbulkan.
"Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina"Al Mu'min 40 : 60
~ catatan di parkir masjid ~